BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Ahad, 1 Mei 2011

GEJALA SOSIAL


                          Harus diingat mana yang lupa,
                          Harus ditegur mana yang alpa,
                    Sebelum manusia hilang dimamah dunia,
                     Sebelum remaja hilang disiplin dimaya.

                     Inilah mukadimah ingatan kepada mauduk bicaraku yang berbunyi "MASALAH GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA MASA KINI" pada posting kali ini setelah sekian lama menyepi kerana mencari ilmu Allah yang bertebaran di muka bumi . Tajuk ini pernah ku bawa semasa menyertai pertandingan syarahan di PLKN satu ketika dulu yang membawa tuah kepada diriku apabila memenangi pertandingan tersebut. Tapi kali ini aku ingin utarakan pandangan mengenai masalah yang sangat dibenci oleh masyarakat sekeliling yang melibatkan permata negara.

                          Gejala sosial pada masa kini kian menjadi-jadi malah menjadi barah tahap kritikal kepada jantung tanah air.Mengapakah gejala sosial ini boleh berlaku dalam era globalisasi masa kini?  Adakah kita hanya bercakap sahaja tanpa bertindak mengatasinya? Adakah kita perlu lihat  dulu masalah ini menjadi barah yang bernanah baru kita hendak mengatasinya? 1001 persoalan mungkin ternyiang-nyiang dibenak kita mengapa perkara ini berlaku. 

                          Perkara pertama yang menyebabkan masalah ini berlaku kerana kurangnya didikan agama. Dapat kita lihat dengan jelas bahawa didikan agama yang mendalam mampu menjadi benteng kepada diri remaja masa kini daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral. Remaja ibarat kaca yang perlu digilap dengan licin. Kaca ini pula terlalu sensitif. Oleh itu, didikan agama amat penting dalam diri remaja serta moral dan sivik juga perlu ditanam dalam diri remaja. Seterusnya, pengaruh rakan sebaya juga merupakan  salah satu punca masalah sosial ini berlaku. Ini kerana remaja masa kini kian tercabar dengan ajakan rakan mereka. Di samping itu, pengaruh persekitaran juga menjadi penyebab masalah sosial ini berluasa. Contohnya , media cetak dan media elektronik mempamerkan pelbagai ragam yang kurang sihat untuk perkembangan remaja serta hiburan yang melampau seolah-olah tidak mampu disekat menjadikan remaja kian lalai. Konklusinya, remaja yang mempunyai iman senipis kulit bawang pasti akan terpengaruh dengan anasir-anasir yang akan merosakkan akhlak mereka.

                                 Antara masalah sosial yang hangat diperkatakan hari ini dan berada pada kedudukan yang  teratas dalam carta masalah sosial di negara ini ialah fenomena pembuangan bayi. Fenomena ini seolah-olah menjadi satu kebiasaan dalam diri remaja yang tidak berperikemanusiaan. Mengapakah perkara ini terjadi? Adakah remaja dinegara kita jahil mengenai agama? Adakah kita sanggup melihat insan yang tidak bersalah ini dibuang didalam longkang,dibakar didalam tong sampah? Perkara ini amat menyedihkan sekali kerana secara terang-terangan  menunjukkan remaja masa kini kurang sikap prihatin dan tanggungjawab sedangkan haiwan sendiri menyayangi anak mereka. Janganlah kerana cinta monyet yang dibina dan ingin menunjukkan kesetiaan, maruah diri yang sangat berharga digadaikan. Janganlah kerana perbuatan yang tidak bermoral atas kesilapan diri sendiri, anak kecil yang dilahirkan menjadi mangsa kekejaman.

                                 Seterusnya, mat rempit atau kini  dikenali sebagai samseng jalanan juga merupakan masalah sosial yang menjadi bahan bualan masyarakat sekeliling pada masa kini. Gejala kurang sihat ini sedikit sebanyak menjejaskan ketenteraman awam malah turut menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan di jalanraya serta kadar jenayah mencuri motor meningkat.  Perkara ini amat membimbangkan dan sedikit sebanyak menjejaskan imej negara dimata dunia. Adakah ini budaya kita? Adakah ini sikap yang perlu ditunjukkan oleh pewaris negara? Sikap ini juga turut digeruni oleh masyarakat sekeliling kerana kegiatan merempit ini turut mengancam nyawa mereka yang berada di jalanan. Tatkala motor mengelunsur laju dijalanan,bunyian motor bagai irama dan lagu,tatkala sikap bagai dirasuk syaitan,apabila hati menunjukkan keegoan pasti malang akan mengundang dengan  membabitkan orang awam.

                                    Penagihan dadah tidak pernah sunyi daripada menimbulkan masalah kepada remaja ,masyarakat dan negara. Pusat serenti bagai nak roboh dengan jumlah yang amat membimbangkan serta tidak pernah lekang daripada menerima pelanggan baru. Apakah usaha kerajaan selama ini tidak berkesan untuk menanggani masalah ini? Bagaimana najis perosak ini boleh berada didalam negara kita? Adakah kawalan di pintu sempadan negara masih lemah lagi dari segi pengawasannya? Setiap hari dada akhbar terkemuka di negara ini memaparkan kandungannya mengenai dadah  ditambah pula dengan berita di media elektronik mengenai rakyat Malaysia menjadi keldai dadah di negara luar. Jelas disini menunjukkan rakyat dinegara kita miskinnya dari segi akhlak dan sahsiah. Janganlah kerana mahu hidup mewah maruah diri dan negara dirobek.

                                       Di samping itu, vandalisme tidak kurang hebatnya di negara ini. Masalah ini seolah-olah tiada penyelesaianya kerana masalah ini tidak pernah sunyi daripada terus membasahi lisan masyarakat sekeliling. Nilai murni  dan didikan agama yang diserapkan didalam diri remaja oleh ibu bapa dan warga pendidik disekolah seolah-olah diendahkan dan sikap yang suka memekakkan telinga menyebabkan masalah ini tiada penghujungnya. Walaupun diberi didikan yang sempurna, remaja dinegara ini tidak mempunyai sikap yang sentiasa bersyukur  dengan nikmat yang diberikan oleh illahi. Titik peluh pemimpin dahulu hingga sekarang yang membangunkan negara ini tidak dihargai malah mereka yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya merosakkan hak masyarakat sekeliling. Janganlah kerana ego dan ingin menunjukkan kehebatan, harta benda negara dirosakkan. Perkara ini jelas menyusahkan negara dan mesyarakat sekeliling kerana ribuan ringgit perlu dibelanjakan serta masyarakat menghadapi kesukaran untuk menggunakan hak mereka.

                                      Tuntasnya, semua pihak hendaklah berganding bahu dalam membasmi gejala ini daripada terus merosakkan permata negara. Peranan remaja mengenai kesedaran diri perlu ada bagi menggelakkan diri yang dicorak dengan didikan agama dan nilai murni daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini.Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memandu anak kejalan yang benar dan jangan  mudah mempercayai anak mereka dengan seratus peratus. Ibu bapa juga perlu mencorak anak-anak dengan nilai-nilai islam didalam diri mereka serta sentisa mengawasi gerak-geri anak mereka jika tidak mahu diri merana. Sementelahan pula, pihak kerajaan dan NGO hendaklah mengambil jalan altenertif dalam membendung masalah ini daripada terus menjadi nanah didalam negara. Kempen-kempen yang membina kesedaran diri remaja hendaklah kerap dilakukan dalam usaha menyelamatkan remaja daripada terjebak dengan perkara yang tidak sihat ini.

                                      Ayuh remaja ayuh, kita bangkit bersama dalam menjadi insan yang berguna. Janganlah kerana inginkan kebebasan maruah diri, keluarga dan negara kita robek. Ayuh remaja ayuh, mari kita bangkit bersama dalam menjadi pewaris negara yang mampu menggegar dunia. Janganlah kerana hawa nafsu kita sanggup menggelapkan masa depan kita.

INGAT!!!!!!!!!!!!!!JADILAH SEPERTI IKAN DILAUT.WALAUPUN AIR DILAUT MASIN TETAPI IKAN TIDAK SEDIKIT PUN TERPENGARUH DENGAN KEMASINAN AIR LAUT TERSEBUT. SAMALAH JUGA DENGAN REMAJA, WALAUPUN MASALAH SOSIAL MELANDAI GLOBAL JANGANLAH KITA SESEKALI TERPEDAYA DENGANNYA.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

need more improvement...k!

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...